By admin On 08:00 | Categorized As , , | With 1 comments
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memuji tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat pada April.

Katanya, pengumuman yang dibuat Shahrizat pada Ahad, adalah satu langkah tepat setelah PKR mengaitkan beliau dengan beberapa dakwaan dan pendedahan berhubung isu penyelewengan dalam Perbadanan Fidlot Nasional (PFN).

"Terima kasih dan tahniah kepada beliau kerana membuat tindakan tepat. Saya puji dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat," kata Rafizi dalam satu kenyataan kepada Mstar.

Menurut Rafizi, keputusan Shahrizat berundur dari kabinet menunjukkan bahawa beliau telah memahami kehendak dan harapan rakyat Malaysia terhadap seseorang yang memegang status sebagai menteri.

"Akhirnya beliau faham kehendak rakyat dan harapan masyarakat awam bahawa menteri dan penjawat awam harus memberi imej yang bersih," katanya.

Keputusan pengunduran ini juga secara tidak langsung kata beliau, mengesahkan bahawa pendedahan dan dakwaan PKR berkaitan penyelewengan dana RM250 juta dalam PFN selama ini adalah betul dan tepat.

"Kalau tak betul, beliau tak akan letak jawatan...mustahil tiba-tiba akan berundur.

"Ini juga membuktikan tuduhan Umno bahawa kita mempolitikkan isu PFN adalah tidak benar," tegasnya.

Shahrizat, dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun menafikan keputusannya diambil ekoran tekanan mana-mana pihak ataupun disebabkan isu PFN.

Rafizi menjelaskan, isu PFN yang dibongkarkan PKR bukan isu politik tetapi menjadi isu rakyat kerana melibatkan dana awam dan wang rakyat.

Beliau berkata, selagi isu ini tidak diselesaikan dengan adil dan sewajarnya, pihaknya akan terus membuat pendedahan yang dirasakan perlu.

"Peletakan jawatan tidak akan padamkan isu ini. Kita akan terus beri perhatian terhadap skandal dalam PFN dan juga isu-isu lain melibatkan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata tumpuan sekarang akan diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan perkara ini.

Katanya, Najib harus menunjukkan komitmen politik dengan memastikan dana pinjaman sebanyak RM250 juta untuk projek ternakan lembu fidlot dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat.

"Tanggungjawab kini terletak di bahu Datuk Seri Najib kerana beliau adalah perdana menteri. Beliau juga orangnya yang meluluskan pinjaman kepada PFN.

"Selain memperolehi semula RM250 juta, semua yang terbabit dalam isu ini perlu disiasat dengan telus dan dibawa ke muka pengadilan," ujar beliau.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

1 comment:

Anonymous said...

Rafizi berjanji akan jadi menteri paling perfect dalam dunia..