By admin On 11:00 | Categorized As , , , | With 0 comments
Kerajaan Negeri mengakui gagal untuk meyakinkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai kepentingan empat projek infrastruktur mega yang hendak dilaksanakan di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, walaupun ia ditentang hebat oleh beberapa pihak, namun majoriti rakyat di Pulau Pinang menyokong projek-projek dimaksudkan.

”CAP bukan satu-satunya organisasi yang menentang empat projek infrastruktur berkenaan, malah Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menentang pembinaan terowong bawah laut dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam.

"Bagaimanapun, maklum balas rakyat Pulau Pinang terutama di Persiaran Gurney dan Seberang Perai Utara (SPU) menunjukkan majoriti orang Melayu, India dan Cina menyokong dan mahu projek untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memacu pembangunan ekonomi di negeri ini diteruskan," kata beliau dalam kenyataan media kelmarin.

Mengenai dakwaan Presiden CAP, S M Mohamed Idris bahawa tiada rundingan awam dilakukan ketika peringkat awal proses keputusan dibuat, Guan Eng berkata, proses yang dikatakan oleh Mohamed sudah diamalkan ketika memutuskan sama ada empat projek infrastruktur itu diteruskan atau tidak.

”CAP cakap kita tidak telus apabila tidak mengambil kira rundingan awam dan pendapat rakyat, ini tidak benar. Ini dibuktikan apabila Exco Kerajaan Negeri memutuskan untuk melaksanakan projek ini melalui tender terbuka secara kompetitif pada 19 Oktober 2011 selepas rundingan awal dijalankan dari 29 April 2011,” katanya.

Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, turut membidas BN kerana tidak mengadakan proses rundingan awam bagi beberapa projek mega ketika memerintah Pulau Pinang.

”Tiada rundingan awam dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini ketika membina Jambatan Pulau Pinang kedua, sebaliknya kita pula dikritik teruk kerana telus," katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: