By admin On 17:00 | Categorized As , , , | With 0 comments
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak menyediakan maklumat lengkap kepada orang ramai berhubung projek infrastruktur yang dilaksanakan di negeri ini.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, masalah kurangnya rundingan awam tidak sepatutnya berlaku kerana projek bernilai berbilion ringgit itu membabitkan dana umum dan berkait rapat dengan hak rakyat.

"Baru-baru ini laporan akhbar menyatakan kerajaan negeri akan membuka permohonan cadangan membina terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang serta beberapa projek lagi.

"Semua projek ini dijangka dibiayai melalui pertukaran tanah dengan syarikat-syarikat yang akan membangunkan projek berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Katanya, disebabkan kurangnya rundingan awam, SAM dan CAP bimbang projek tersebut hanya akan menambahkan masalah kesesakan di bahagian pulau.

"Pembinaan terowong bawah laut sebagai tambahan kepada jambatan baru hanya akan membawa lebih banyak kenderaan ke bahagian pulau dan seterusnya menyumbang kesesakan lalu lintas yang lebih buruk.

"Projek -projek yang dibina itu yang bertujuan untuk mempercepatkan aliran lalu lintas, namun tidak akan menyediakan pengangkutan awam yang lebih murah dan cekap," katanya.

S.M. Mohamed menambah, isu ketelusan dan keterbukaan berhubung cadangan projek adalah keutamaan yang penting dalam peringkat awal perancangan dan membuat keputusan.

"Rakyat perlu diberikan maklumat lengkap dari awal mengenai potensi, manfaat dan kesan projek dan butiran pertukaran tanah supaya mereka boleh membuat keputusan bermaklumat mengenai keperluan projek mega seperti itu," ujarnya.

"SAM dan CAP juga tidak mahu peristiwa Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) sebelum ini yang diselubungi dengan kerahsiaan akan membawa kepada bantahan penduduk yang bimbang kesan projek dan pertukaran tanah berulang lagi.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri menafikan hak awam berhubung perkara itu telah melanggar Prinsip 10 Deklarasi Rio mengenai Pembangunan dan Alam Sekitar yang menyokong akses kepada maklumat alam sekitar, penyertaan awam dan akses kepada keadilan dalam perkara berhubung alam sekitar.

"Kami juga masih belum melihat Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang terkini yang masih dalam proses penyediaan.

"Sehubungan itu, berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri, kami menggesa penangguhan empat projek tersebut sehingga rundingan awam yang bermakna dan kajian kesan projek dibentangkan terlebih dahulu," jelasnya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: