By admin On 11:00 | Categorized As , , | With 0 comments

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendakwa ada seorang pemimpin parti pembangkang telah mengintip pergerakan beliau selama tiga bulan bagi mengetahui secara terperinci perjalanan hidupnya.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata, ketaksuban anggota berkenaan yang disifatkannya masih muda dan 'lelaki jambu' itu seolah-olah mahu merampas jawatan yang disandangnya.

"Sebenarnya, individu ini mahu menjadi Ketua Wanita UMNO dan Wanita BN memandangkan Wanita mempunyai ahli seramai 1.3 juta berbanding parti yang dipimpin beliau itu tidak ramai ahli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan hamper sempena sambutan Maulidur Rasul di Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin.

Shahrizat berkata, pihaknya bercadang menghantar pakaian berwarna merah dan putih bagi menghargai hasrat yang diidamkan oleh individu berkenaan.

"Saya belum pernah berjumpa lelaki ini tetapi ada melihat gambarnya dan nampak 'jambu' serta cantik sekiranya dia mengenakan pakaian yang akan kita hantar nanti," katanya.

Pada masa sama, Shahrizat menegaskan dia tidak akan berputus asa dalam kerjaya politik dan bersedia menghadapi cabaran khususnya daripada pembangkang.

Sambil mengakui menghadapi cabaran hebat sepanjang tiga bulan lalu, beliau sedar, semua yang berlaku itu merupakan taktik pembangkang yang mahu melemahkan semangatnya untuk meneraju Wanita UMNO.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: