By admin On 20:00 | Categorized As , , , | With 1 comments

Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan hari ini amalan korupsi dan kapitalis kroni oleh Barisan Nasional (BN) yang akan menjadikan negara ini muflis dan bukannya konsep negara kebajikan yang dibawa Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Menteri Pulau Pinang ini berkata tiada sebab mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ingin menentang negara berkebajikan yang akan membantu semua rakyat Malaysia terutamanya yang miskin, melainkan beliau merasa bimbang untuk segelintir kroni kapitalis yang akan rugi.

“Negara kebajikan yang memastikan bahawa yang miskin dan lemah tidak dipinggirkan tidak akan menjadikan Malaysia muflis. Korupsi dan kapitalisme kroni yang akan menjadikan Malaysia muflis .

“Sudah tiba masanya untuk kita membasmi kemiskinan, melaksanakan gaji minima dan mengurangkan beban kewangan golongan 60 peratus bawahan yang mempunyai purata pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan dan 40 peratus golongan yang terpaksa hidup dengan kurang daripada RM1,500 sebulan,” Lim dalam perutusan khasnya sempena sambutan Thaipusam hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Bagan ini lagi, kadar inflasi yang melambung menyukarkan kehidupan rakyat Malaysia dan program-program sosial tidak akan menyaksikan Malaysia kerugian RM1.077 trilion yang telah dibawa keluar daripada negara kita ekoran kegiatan korup dan kapitalis kroni.

Unjuran kerugian tersebut berdasarkan jumlah keluaran wang secara haram dari Malaysia antara tahun 2000 hingga 2009 mengikut laporan terbaru Global Financial Integrity.

“Kerugian satu trilion ringgit ini bermakna bahawa 10 tahun pertama dalam abad ke-21 adalah dekad yang telah hilang dek korupsi.

“Tiada tindakan yang telah diambil ke atas skandal RM52 bilion saham Bumiputera yang sepatutnya diagihkan kepada masyarakat itu yang miskin tetapi telah lenyap begitu sahaja,” tambah Lim.

Lim turut menjelaskan keadaan sama turut berlaku dalam skandal Perwaja dan kerugian dalam tukaran matawang asing oleh Bank Negara yang berjumlah RM20 bilion.

Tambahnya lagi bukanlah perkara yang pelik apabila kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah menjunam ke tahap yang paling teruk selama 60 tahun.

Menurut Lim, kegagalan BN untuk melaksanakan sistem tender terbuka juga telah mengakibatkan kapitalisme kroni.

“Lebuhraya Pantai Barat yang bernilai RM7.07 bilion dengan tempoh konsesi selama 60 tahun serta keengganan untuk memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang walaupun pengendali tol sudahpun mengaut keuntungan lebih daripada 100% ke atas pelaburan modal menunjukkan bagaimana kroni-kroni mendapat untung yang besar,” tegasnya.

Jelas beliau, situasi itu telah merugikan hampir seluruh 28 juta orang populasi Malaysia.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

1 comment:

! BUJANG SENANG ! said...

LINK BLOG http://antirepublik.blogspot.com