By admin On 14:00 | Categorized As , , | With 0 comments

SHAH ALAM: Kerajaan sedia ada sekarang mengamalkan pemerintahan berasaskan keadilan sosial dan sentiasa mengutamakan rakyat tanpa memilih ‘bulu’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai pemimpin kerajaan yang memerintah, beliau akan sentiasa berlaku adil kerana Allah mengkehendaki hamba-Nya berlaku adil.

“Bermula bulan depan, kerajaan mengagihkan bantuan RM500 kepada ketua keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000, ada pihak membisikkan saya supaya hanya berikan wang itu kepada orang ‘kita’ saja.

“Tetapi saya beritahu dia semua orang di bawah pendapatan RM3,000 dapat, kami tidak pilih ‘bulu’ kerana siapa tahu jika hari ini dia tidak menyokong kami, Allah akan buka hatinya menyokong kita satu hari nanti.

“Jika kami berlaku adil, kami bukan hanya mendapat ganjaran di akhirat malah di dunia, sebab itulah kerajaan sedia ada sekarang dapat memerintah selama 54 tahun kerana berlaku adil dalam membela rakyat,” katanya dalam ucapan pada majlis sepetang bersama Perdana Menteri di Perhimpunan Perdana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia (Pekida) di Dewan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof.

Perdana Menteri berkata, sistem pemerintahan yang ada sekarang perlu dipertahankan supaya lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera berjaya di samping keturunan lain tidak diketepikan.

“Melalui sistem pemerintahan yang ada sekarang kita melahirkan anak buruh menjadi eksekutif syarikat korporat.

“Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang dulu anak nelayan kini menjadi Menteri Besar Perak, saya juga tidak fikir Datuk Seri Noh dan Datuk Seri Ali mempunyai latar belakang orang senang sewaktu kecil dulu, tetapi dengan sistem yang kami ada sekarang, kami mampu membawa perubahan serta kejayaan kepada orang Melayu,” katanya.

Beliau menyeru orang Melayu dan umat Islam bersatu mempertahankan kuasa yang dipegang selama ini.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: