By admin On 17:00 | Categorized As , , | With 0 comments

KUALA LUMPUR: Pengacara, pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari 2012 depan kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah.

Perbicaraan kes beliau akan berlangsung pada waktu pagi, tetapi masih belum ditentukan waktunya, hasil rundingan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengannya.

Menurut Bob, rundingan tersebut telah diadakan beberapa kali di beberapa tempat termasuk di Pejabat Jais di Shah Alam, selain di beberapa tempat lain setelah pihak Jais sendiri yang datang menemuinya.

Katanya, hasil rundingan-rundingan itu, akhirnya beliau bersetuju untuk dibicarakan dan berjanji akan hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari nanti.

"Jais dah berunding dengan saya beberapa kali. Jadi, saya tak mahulah buat kecoh. Insya Allah, saya akan hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada hari yang telah ditetapkan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Bob Lokman ditahan oleh Jais kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah pada malam 10 Oktober lalu, setelah beliau selesai menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 di Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya. Ketika insiden itu, kira-kira 25 penguatkuasa Jais, pihak polis dengan 2 buah kereta, Kadi Hulu Langat turut hadir bagi tujuan itu.

Bob yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali, diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari 11 Oktober lalu bagi memberikan kenyataan.

Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu turut diminta hadir ke pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.

Ketika dihubungi 11 Oktober lalu, beliau mengesahkan penahanannya itu dan turut menegaskan tidak akan hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu.

"Mereka yang datang untuk menangkap saya itu sendiri mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah di dalam ceramah saya itu tetapi hanya kerana tanpa tauliah," katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: