By admin On 11:00 | Categorized As , , | With 0 comments


SHAH ALAM  – Pas menafikan dakwaan kemungkinan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan tersebut nyata tidak benar kerana pihaknya masih belum berbincang mengenai soal calon untuk mewakili Pas pada PRU-13 nanti.

Katanya, soal calon itu hanya boleh disahkan selepas proses penamaan calon diadakan memandangkan tidak ada siapa yang tahu bila PRU-13 akan diadakan.

“Tak betul... tak betul... itu cakap surat khabar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan risalah Negara Berkebajikan: Tawaran Pas di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Mingguan Malaysia sebelum ini telah memetik sumber sebagai berkata, Hasan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia itu telah ‘disingkirkan’ oleh Pas Selangor dan pada masa sama pengguguran tersebut telah mendapat restu daripada Pas pusat.

Selain itu, akhbar berkenaan turut melaporkan Pas Pusat juga akan menggugurkan beberapa pemimpin Pas lain termasuk bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa yang selama ini tidak disenangi oleh kumpulan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dikenali sebafgai Erdogan.

Berita mengenai pengguguran Hasan itu telah diperkatakan sejak kebelakangan ini, malah Jumaat lalu, sebuah portal berita propembangkang ada melaporkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib bahawa Hasan berkemungkinan besar akan digugurkan sebagai calon parti itu pada PRU-13.

Sementara itu, Hasan dijangka mengadakan sidang akhbar di kediaman beliau di Kuala Lumpur hari ini bagi mengulas isu berkenaan.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: