By admin On 08:00 | Categorized As , , | With 0 comments

BUTTERWORTH - Timbalan Pengerusi DAP negeri, P. Ramasamy didesak memohon maaf secara terbuka kerana melabelkan Karpal Singh sebagai 'Godfather'.

Karpal yang juga Pengerusi DAP ketika membuat gesaan itu berkata, pada masa sama, Ramasamy perlu menjaga kelakuannya dan menghormati pemimpin veteran parti itu.

Menurut beliau, kedudukan DAP hari ini adalah hasil pengorbanan dan perjuangan pemimpin terdahulu dalam membina veteran parti tersebut.

"Siapa yang tubuh DAP? Veteran pemimpin yang membina parti ini. Maka jangan kita sekali-kali lupa pengorbanan mereka.

"Pemimpin-pemimpin hari ini tidak akan menjadi pemimpin tanpa pengorbanan pemimpin veteran," katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Hotel Pearl View sini hari ini.

Dalam pada itu, ucapan Karpal yang membidas Ramasamy itu telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan penyokong Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang tersebut, namun keadaan dapat dikawal.

Karpal berkata, DAP tidak boleh bertolak-ansur dengan isu 'Godfather' itu kerana perkataan tersebut menggambarkan seumpama kumpulan mafia.

"Godfather menggambarkan imej kumpulan mafia, DAP tidak pernah bertoleransi dengan unsur mafia,'' katanya.

Selain itu, Karpal juga mengkritik Ramasamy kerana cuba melakukan sesuatu mengikut caranya sendiri.

"Tiada siapa pun yang boleh menjadi panglima perang dalam DAP, termasuk Ramasamy dengan cuba menamakan calon-calon pilihannya," kata beliau.

Sebelum ini, Ramasamy yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai pada satu majlis dilaporkan telah mengumumkan bahawa beliau dan tiga calon wanita India bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Berikutan itu, Karpal yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor memberi amaran kepada Ramasamy supaya tidak mengumumkan konco-konconya sebagai calon.

Dalam perkembangan lain, kira-kira 150 anggota pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi sebagai bantahan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seri Delima, RSN Rayer dan ADUN Bagan Dalam, A. Thanasekaran berhubung isu yang sama serta menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Ramasamy.

Kesemua peserta demonstrasi berkenaan membawa lapan kain rentang dalam bahasa Melayu dan Tamil yang mengutuk Rayer dan Thanasekaran sambil menyatakan sokongan kepada Ramasamy.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: