By admin On 17:00 | Categorized As , , | With 0 comments

Gara-gara menghalang tugas penjawat awam, seorang penganggur didenda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

V. Prem Kumar, 24, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal Shariezuan Mohd. Sukeri ketika anggota polis itu meminta tertuduh mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Kejadian didakwa berlaku di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), KM 4.5 di sini pada pukul 8.30 pagi, 23 Disember lalu.

Dakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, anggota polis berkenaan meminta tertuduh mengemukakan dokumen pengenalan diri setelah lelaki itu dijumpai berbaring tanpa berbaju di tepi lebuh raya bersama sebuah motosikal jenis LC135 di sisinya.

Tertuduh yang dipercayai mabuk ketika itu enggan memberi kerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis tersebut.

Terdahulu, Prem Kumar yang tidak diwakili peguam ketika merayu hukuman ringan sambil mendakwa, dia ketika itu terlalu mabuk sehingga terpaksa tidur di tepi jalan selain mengalami masalah mental.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi bagaimanapun membidas rayuan Prem Kumar dengan memaklumkan kepada Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid bahawa tiada sebarang dokumen yang dapat menyokong dakwaan berhubung penyakit mentalnya.

''Malah jika benar sekalipun tertuduh mempunyai masalah mental, ia bukan alasan untuk tertuduh menghalang penjawat awam melakukan tugasnya,'' katanya sambil memohon hukuman setimpal.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: