AMPANG JAYA: Sekumpulan tiga lelaki warga Indonesia yang memecah masuk sebuah banglo sebelum mengikat lima sekeluarga di dalam sebuah bilik, di Kampung Pandah Indah Permai, di sini, berjaya dicekup hanya kurang 10 minit selepas kejadian itu, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga lelaki terbabit memecah masuk ke dalam banglo berkenaan dengan memotong pagar belakang sebelum memecahkan pintu kayu menggunakan tong gas yang diletakkan di bahagian luar rumah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, seorang daripada anak perempuan sempat menghubungi talian kecemasan 999 selepas mendengar bunyi bising di bahagian bawah banglo dua tingkat itu.
“Wanita berusia 24 tahun itu bertindak berani dengan memaklumkan pihak polis sebelum dia diikat bersama ahli keluarganya yang lain di sebuah bilik menggunakan dawai pagar yang dipotong.
“Sebaik menerima maklumat berkenaan, enam pasukan peronda polis dikejarkan ke tempat kejadian dan bertindak mengepung banglo berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini semalam.
Amiruddin berkata, polis hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk mencekup semua suspek tanpa membabitkan kecederaan serius.
“Suspek berusia antara 27 hingga 36 tahun itu didapati pernah terbabit dalam satu lagi kes samun awal November lalu.
“Antara barangan yang cuba dilarikan suspek ialah barangan kemas bernilai kira-kira RM 10,000, sebuah komputer riba, serta lima telefon bimbit dan jumlah keseluruhan kerugian kira-kira RM 20,000,” katanya.
Menurutnya, bersama suspek, polis menemui alat pemotong besi serta senjata yang digunakan iaitu sebilah pisau dan parang.
“Suspek direman sehingga 22 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak ,” katanya.





No comments:
Post a Comment