By admin On 14:00 | Categorized As | With 0 comments

JAKARTA – Sedih bercampur gembira. Malaysia akhirnya berjaya melepasi sasaran 40 pingat emas (41 setakat semalam) tatkala berita kurang menggembirakan menyelubungi kem bola sepak negara apabila jurulatih Ong Kim Swee digantung perlawanan.

Ini bermakna, Kim Swee tidak boleh berada di tepi padang semasa anak-anak buahnya menentang Myanmar dalam babak separuh akhir hari ini, sebaliknya duduk di kerusi penonton.

Apa pun, atas kertas skuad Harimau Muda seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Myanmar hari ini, kerana Kim Swee masih boleh mengeluarkan arahan daripada ‘walkie-talkie’ kepada pembantunya, Hassan Sazali yang akan mengambil alih sementara tugas itu jika rayuan yang dibuat hari ini ditolak jawatan kuasa penganjur.

Satu lagi separuh akhir hari ini akan melibatkan tuan rumah, Indonesia menentang Vietnam yang akan berlangsung pada malam.

Dalam pada itu, tambahan empat pingat emas yang disumbangkan ski air, lawan pedang dan boling pada hari kelapan Sukan SEA semalam membolehkan kontinjen Malaysia mengatasi sasaran minimum 40 emas dan dengan saingan temasya berbaki empat hari lagi, angka 50 atau lebih dilihat bukan sesuatu yang mustahil.

Emas sulung semalam dihasilkan oleh ratu ski air negara, Phillipa Yoong di Tasik Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang apabila dia menambah koleksi emas kedua peribadi menerusi kategori keseluruhan.

Selang beberapa jam kemudian, tiba giliran abangnya yang juga bekas pemandu F1, Alex Yoong mempamerkan dia bukan sekadar hebat memandu di darat tetapi juga di atas permukaan air, dengan mengungguli kategori keseluruhan.

Emas tersebut sekali gus menebus kekecewaan Alex yang pada sehari sebelumnya, sekadar berpuas hati dengan dua perak dalam acara jumping dan slalom.

Tatkala tiada kepastian dari mana akan datang lagi emas seterusnya semalam, skuad lawan pedang tampil menceriakan kem Malaysia.

Trio atlet lawan pedang yang terdiri daripada Muhamad Radhi Hasim, Yu Peng Kean dan Liong Ming Chang cemerlang menumpaskan Vietnam dalam perlawanan akhir berpasukan Sabre lelaki.

Ia merupakan emas kedua yang dihasilkan pasukan lawan pedang selepas kejutan emas sulung dihadiahkan Joshua Koh, Ahad lalu.

Emas keempat kita yang juga terakhir untuk hari kelapan, datangnya tidak lain tidak bukan dari skuad boling yang terus menggegar pusat boling Ancol Bowl di Jakarta.

Gandingan mantap kesemua enam pemain lelaki kita - Adrian Ang, Zulmazran Zulkifli, Alex Liew, Aaron Kong, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Muhd. Nur Aiman Khairudidn - mengukuhkan status mereka selaku pasukan lelaki terkuat Asia Tenggara dengan menjuarai acara berpasukan, mengalahkan Filipina dan Indonesia.

Bagaimanapun, tiada keceriaan berganda diberikan oleh skuad wanita seperti yang dilakukan ketika acara beregu, apabila mereka sekadar meraih gangsa, tidak terdaya menggugat keunggulan Singapura yang mendahului sejak game pertama lagi.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: