By admin On 17:00 | Categorized As , , , | With 1 comments
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan PAS Pusat, tiada dalam perlembagaan negeri dan tidak boleh mengehadkan kuasanya sebagai Menteri Besar.

Oleh itu, katanya, jawatankuasa berkenaan juga tidak berhak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita negeri kena ikut perlembagaan negerilah... Jawatankuasa Pemandu itu hanya bagi pandangan dan nasihat secara peribadi. Pada saya, sesiapa pun boleh bagi nasihat.

“Lagipun Jawatankuasa Pemandu itu tidak ada dalam perlembagaan. Saya pun tidak tahu siapa dia Jawatankuasa Pemandu itu? Apa dia punya ‘terms of reference’ (terma rujukan)?

“Macam mana saya nak komen.. ya dak (betul kan)? Bila sudah tahu nanti baru boleh komen,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediamannya, di Jalan Sultanah di sini, semalam.

Menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, jawatankuasa tertinggi dalam pentadbiran negeri adalah jemaah EXCO yang diketuai Menteri Besar di mana pelantikan mereka mendapat perkenan Sultan Kedah selain mengangkat sumpah mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Isnin lalu, PAS Pusat mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu itu yang akan bertanggungjawab memantau Menteri Besar mentadbir dan menguruskan negeri sebagai penyelesaian kepada krisis dalaman kerajaan Kedah berikutan penolakan dua EXCOnya terhadap pentadbiran Azizan.

Walaupun kemelut itu dilihat selesai selepas dua EXCO terbabit, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh bersetuju menyertai semula barisan EXCO negeri, Jawatankuasa Pemandu itu antara lain didakwa berfungsi memberi pandangan mengenai apa yang dirasakan perlu oleh PAS Pusat dalam tugas Azizan mengurus dan mentadbir Kedah.

Phahrolrazi sebelum ini mendakwa Jawatankuasa Pemandu akan berfungsi sebagai kuasa pemutus tertinggi, sekali gus membolehkan sebarang percanggahan pendapat di kalangan EXCO, termasuk dengan Menteri Besar diselesaikan oleh jawatankuasa itu.

Ditanya pandangan Phahrolrazi mengenai perkara itu, Azizan berkata: “Dia ambil (ikut) undang-undang mana.. kita negeri ikut perlembagaan negeri.”

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah Ustaz Azizan, anda seorang yang hebat berpolitik.