By admin On 08:00 | Categorized As , , | With 0 comments
KEADILAN semalam telah mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah menggunakan sebanyak RM409,767 wang rakyat untuk menanggung kos majlis pertunangan anak perempuannya, yang diadakan di Seri Perdana tahun lalu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, kos itu merangkumi satu tempahan majlis bankuet di Hotel Shangri La yang menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis pertunangan berkenaan.

Berdasarkan dokumen yang diedar kepada media, kos tersebut telah dicaj kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Hari ini kami tampil dengan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat Malaysia apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN kelmarin.

Bagaimanapun wakil dari Pejabat Perdana Menteri telah menafikan majlis pertunangan tersebut yang diadakan pada Jun tahun lalu, diadakan dengan menggunakan duit kerajaan.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dalam kenyataannya telah menafikan tuduhan tersebut sekeras-kerasnya.

Menurut beliau, tuduhan yang dilemparkan oleh Rafizi itu adalah satu fitnah yang jelas bertujuan untuk menjejaskan imej Perdana Menteri.

“Pengarah strategik PKR Rafizi Ramli perlu memohon maaf atas dakwaan beliau, yang mana ia adalah palsu, fitnah dan memburuk-burukkan reputasi Perdana Menteri.

“Majlis pertunangan tersebut tidak langsung menggunakan dana awam, ia dibayar sendiri oleh Perdana Menteri dan keluarganya,” kata beliau.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: