By admin On 17:00 | Categorized As , , , | With 0 comments

Menteri besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tekanan politik dihadapinya ketika ini yang dikatakan didalangi oleh golongan ‘Anwarinas’ dalam Pas tidak menggugat kedudukan dan peranan beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

Bahkan, beliau dengan nada meyakinkan berkata, semakin hebat tekanan dihadapi semakin kuat sokongan daripada rakyat yang bersimpati dengan situasi yang beliau terpaksa tempuhi.

Ini kerana, kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, rakyat Kedah gembira dengan corak pentadbirannya yang aman dan lancar.

“Lagi orang kacau, lagi rakyat bersimpati terhadap saya. Mereka gembira apa, Kedah aman, damai dan sejahtera. Tiada kacau bilau, betul tak?,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kedua Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah di sini semalam.

Utusan Malaysia melaporkan, tekanan politik yang terpaksa dihadapi Azizan sehingga menyaksikan ‘pemberontakan’ empat Exco kanan Pas didakwa berpunca daripada tangan ghaib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan itu dibuat bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin kerana katanya, Anwar tidak menyukai mana-mana pemimpin ulama dalam Pas yang tegas mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam kerana mahu prinsip itu diliberalkan.

Azizan sebelum ini dikecam hebat oleh pemimpin pakatan sendiri apabila beliau mempertahankan tindakan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Kedah, menggantung pelajar selain keberaniannya menyanggah isi kandungan Buku Jingga pakatan pembangkang, apabila berkata ia bukan al-Quran.

Spekulasi terbaru mengatakan beberapa Exco Kedah enggan hadir pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Selasa ini bagi memberi tekanan kepadanya supaya berundur.

Azizan berkata, dari hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar empat tahun lalu, pelbagai cerita timbul mengenai kepimpinannya.

Ditanya mengapakah tekanan yang dihadapi beliau pada masa ini dilihat paling serius, beliau berkata:“Orang nak buat kerja ini ada strategi dia, bukan dia buat saja-saja. Saya pun ada strategi juga.”

Mengenai dakwaan bahawa tekanan yang dihadapi beliau pada masa ini angkara kumpulan Anwarinas dalam Pas, Azizan menjelaskan, dakwaan itu ditulis oleh wartawan, tetapi menegaskan beliau tiada masalah untuk berkawan dengan sesiapa pun tidak kira daripada golongan mana.

Bagaimanapun, katanya, sesiapa pun tidak boleh mempengaruhi fikirannya untuk bersetuju atau tidak dengan mereka berhubung sesuatu perkara.

“Saya tak tahu golongan Endorgan, sembang saya sama sahaja. Saya boleh pi (pergi) tang (ikut) mana pun, tiada masalah apa. Semua kawan saya. Kalau saya setuju dengan dia orang saya kata yes, tak setuju kata no,” tegasnya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: