By admin On 08:00 | Categorized As , , | With 0 comments

IPOH – Tindakan tegas perlu diambil terhadap Adam Adli yang disifatkan sebagai kurang ajar kepada pemimpin tertinggi negara.

Bekas Pemangku Ketua Angkatan Muda (AMK) Perak, Faizal Effendi Hashim berkata, kebebasan pelajar tidak dihalang tetapi biarlah ada batas beradab.

Katanya, beliau yakin tindakan Adam itu tidak keseorangan tetapi ada pihak tertentu yang menjadi dalang sehingga dia berani menurunkan gambar Perdana Menteri.

“Realitinya, tindakan berkenaan bukanlah datang dari sanubarinya tetapi mungkin dirancang pihak tertentu untuk memalukan PM.

“Kenapa gambar Datuk Seri Mohd Najib Razak dipilih walhal bendera Perdana Menteri terdahulu tidak diusik,” soalnya ketika mengulas mengenai tindakan biadab Adam kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Tambah Faizal, jika tindakan Adam itu mahu dikaitkan dengan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) langsung tidak relevan dengan protes yang dilakukan terhadap bendera Perdana Menteri.

“Ini kerana Auku dilaksanakan zaman Perdana Menteri sebelumnya lagi bukannya baru dilaksanakan zaman pemerintahan Najib,” katanya.

“Tindakan Adam ini yang dikatakan wira oleh pihak tertentu hanyalah memalukan Adam serta keluarganya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Faizal Effendi melahirkan rasa terkejut apabila kes Adam ini mendapat pembelaan dari pimpinan PKR apabila Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Md Akin mengeluarkan kesanggupan untuk bersama-sama Adam menghadapi segala kemugkinan dari pihak tertentu.

Tambahnya lagi, penglibatan bersama Solidariti Anak Muda (SMM) dalam demonstrasi terbabit juga perlu disiasat secara menyeluruh.

“Rakyat nak tau siapa di belakang SMM supaya rakyat mendapat gambaran sebenar adakah demonstrasi ini benar-benar tuntutan ikhlas dari pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya menggesa pelajar IPT supaya memikirkan soal masa depan dan jangan mudah diperalatkan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: