By admin On 20:30 | Categorized As , , | With 0 comments

KUALA LUMPUR: Akibat tidak mampu membayar balik pinjaman daripada 11 ceti haram atau along lebih RM22,000 sejak setahun lalu, seorang lelaki membahayakan nyawanya selepas terjun dari tingkat tiga rumahnya.

Menurut bapa yang mahu dikenali sebagai Liew, 69, anaknya sudah tiga kali meminjam dengan along apabila kali pertama membuat pinjaman RM10,000, manakala kali kedua, RM5,000 dan kali terakhir RM7,000.

“Selepas tidak mampu membayar balik hutang along terbabit, dia terjun dari tingkat tiga rumah, namun nasib menyebelahinya apabila hanya cedera ringan di tangan.

“Saya dan isteri yang kasihan dengannya membantu dia melangsaikan segala hutangnya dengan semua along terbabit,” katanya yang membuat aduan kepada Jabatan Pengaduan Awam MCA.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya sudah banyak menerima aduan berkaitan kes along dan kerap memberi amaran kepada orang ramai.

“Tahun lalu, kami menerima 302 kes dengan jumlah pinjaman RM29 juta manakala tahun ini, kami sudah menerima 409 aduan membabitkan jumlah pinjaman RM25 juta.

“Saya beri amaran kepada semua peminjam yang degil supaya bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dan jangan menyusahkan orang lain terutama keluarga,” katanya.

Menurutnya, terdapat peminjam yang menipu ahli keluarga mereka dengan merancang penculikan diri sendiri bagi membolehkan mereka meminta wang tebusan kepada ahli keluarga.

“Terdapat satu kes dengan si suami menculik diri sendiri selepas tiga kali meminjam dengan along dan menuntut wang tebusan daripada isterinya RM200,000,” katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: