BUKIT MERTAJAM – Polis akan memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dari DAP bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat oleh dua wanita terhadap wakil rakyat itu kerana menghina mereka yang bersuamikan warga asing, malam kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk mendapatkan Arahan Untuk Siasatan (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Saya mengesahkan polis terima laporan kes terbabit dan akan dirujuk kepada DPP sebelum siasatan terperinci dijalankan. Kita akan panggil semua pihak yang ada maklumat atau berkaitan dengan kes ini.
“Kita akan jalankan siasatan secara telus tanpa mengira kedudukan mereka terlibat dan semua pihak diharap menyerahkan siasatan kepada polis tanpa mengambil sebarang tindakan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bertemu Pelanggan di Sunway Carnival, di sini hari ini.
Ayub mengulas laporan polis dibuat Sarimah Packeer Mohd., 43, dan Fatimah Sharmin Abdullah, 30, yang mendakwa dihina semasa Wei Aik menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran rumah kedai termasuk premis milik mereka di Jalan Gurdwara di sini, pukul 6.30 petang.
Tambah Ayub lagi, pihaknya juga akan meneliti unsur ugutan bunuh seperti yang didakwa diterima suami Sarimah, Md. Mosharef Hossain semalam.
Sebelum itu, peniaga barang lusuh, Sarimah Packeer Mohd. kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik yang menafikan pernah mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya dan seorang lagi wanita baru-baru ini.
Menurut Sarimah, 43, dia mempunyai saksi yang melihat dan mendengar perbuatan Wei Aik itu.
"Saya kesal dengan penafian dia (Wei Aik). Saya ada saksi yang dengar dia bercakap sedemikian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Kelmarin, Sarimah dan Fatimah Sharmin Abdullah, 30, mendakwa dihina sebagai pengkhianat negara oleh Wei Aik yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Kata-kata kesat tersebut dilemparkan ketika Wei Aik meninjau serta menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran sederet rumah kedai termasuk premis milik mereka di Jalan Gurdwara di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, Selasa lalu.
Bagaimanapun, semalam Wei Aik membuat laporan polis bagi menafikan ada berbuat demikian terhadap Sarimah dan seorang lagi peniaga barang lusuh, Fatimah Sharmin Abdullah, 30.
Sarimah menambah, saksi berkenaan juga telah membuat laporan polis kelmarin.





No comments:
Post a Comment