By admin On 13:00 | Categorized As , , , | With 1 comments
Dua bekas EXCO PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dijangka diberikan portfolio lain, berbanding portfolio kanan yang dipegang mereka sebelum ini jika dilantik semula ke jawatan itu dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka membuat rombakan kecil portfolio yang turut membabitkan lapan EXCO yang mengangkat sumpah pada 28 Februari lalu untuk disesuaikan dengan kemasukan semula Phahrolrazi dan Dr Ismail.

Berita Harian melaporkan, Azizan dijangka tidak akan menawarkan EXCO kanan kepada Phahrolrazi berikutan hubungan dingin mereka.

Katanya, jika kedua-dua bekas EXCO itu ditawarkan portfolio kanan, ia akan menyukarkan Azizan yang sebelum ini menerima banyak tekanan daripada mereka yang turut cuba menjatuhkan Menteri Besar.

“Mereka dijangka ditawarkan baki portfolio yang kosong iaitu pertanian dan industri asas tani, pembasmian kemiskinan, pembangunan luar bandar, bioteknologi, sains dan inovasi serta pembangunan usahawan.

“Mungkin akan ada sedikit rombakan, namun tidak akan membabitkan portfolio kanan yang sudah diisi EXCO lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Phahrolrazi sebelum ini memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail pula diberikan portfolio Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Portfolio dipegang Phahrolrazi selaku EXCO kanan sebelum ini diserahkan kepada Datuk Amiruddin Hamzah yang sudah mengangkat sumpah sebagai EXCO baru.

Bagaimanapun, sumber berkata, ia bukan hukuman Azizan kepada dua bekas EXCO terbabit, namun lebih kepada proses melicinkan pentadbiran negeri sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Phahrolrazi dan Dr Ismail ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.

Mesyuarat PAS Pusat yang turut membabitkan Azizan dan Phahrolrazi minggu lalu memutuskan Menteri Besar dikekalkan dengan dua EXCO berkenaan menerima semula jawatan mereka.

Bagaimanapun, pelbagai pihak menganggap isu berkenaan belum selesai sepenuhnya berikutan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Azizan.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

1 comment:

Anonymous said...

suara rakyat suara keramat,rakyat melantik rakyat pun boleh jentik.buatlah baik untok kami buat hajat jangan sekali.pesanan ini khas buat kesemua ahli dun negeri dan ahli parlimen dimana jua anda berada.