By admin On 08:00 | Categorized As , , , | With 0 comments

PAS Kawasan Kuala Kedah diminta menyelesaikan segera konflik dalaman membabitkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang dikatakan bertindak bertentangan dengan keputusan mesyuarat jawatankuasa kawasan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, isu dan pertikaian di peringkat kawasan perlu ditangani terlebih dahulu kerana ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada isu pokok berhubung krisis kepimpinan pentadbiran PAS Kedah.

"Isu PAS Kawasan Kuala Kedah itu perkara kecil, masalah yang wujud di peringkat kawasan adalah perkara biasa yang boleh diselesaikan secara dalam keluarga.

"Jadi kita harap mereka dapat selesaikan dengan segera," katanya kepada mStar.

Malah Mohamad yang juga dikenali sebagai 'Mat Sabu' turut berharap agar masalah dalaman seumpama itu tidak berlarutan hingga mengganggu urusan pentadbiran kerajaan Kedah.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terbaru apabila Amiruddin yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah menjawab surat tunjuk sebab PAS kawasan berikutan tindakannya menerima pelantikan semula jawatan exco walaupun telah diarahkan tidak menerima pelantikan itu.

Malah Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit menganggap kes yang membabitkan dirinya dalam isu PAS Kawasan Kuala Kedah itu selesai setelah menjawab surat yang dihantar oleh Setiausaha PAS kawasan itu Khamis lalu.

Sebelum ini PAS Kawasan Kuala Kedah yang diketuai Yang Dipertuanya, Datuk Phahrolrazi Zawawi memberi kata dua serta tempoh selama 14 hari kepada Amiruddin untuk memberi penjelasan berhubung keengganannya mematuhi keputusan mesyuarat kawasan itu.

Kemelut politik PAS Kedah bermula apabila Phahrolrazi dan seorang lagi Exco, Datuk Dr Ismail Salleh enggan dilantik semula sebagai exco kerana mempunyai perbezaan pendapat yang kritikal dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: