By admin On 14:00 | Categorized As , , | With 1 comments

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh tidak menolak kemungkinan Himpunan Hijau 3.0 akan diadakan sekiranya kerajaan masih berdegil meneruskan projek pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Advanced Material Plant (Lynas) di Gebeng, Kuantan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Hentikan Lynas berkata demikian, mengulas kenyataan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang mengatakan Himpunan Hijau 3.0 akan menjadi pilihan sekiranya kerajaan masih meneruskan operasi Lynas.

“Memang ada perbincangan untuk mengadakan Himpunan Hijau 3.0, walaupun ia tidaklah secara terperinci,”

“Ini kerana Himpunan Hijau 2.0 yang sangat berjaya meyakinkan kita bahawa seluruh rakyat Malaysia sememangnya mahu projek ini dihentikan,” kata Fuziah dalam satu kenyataan kepada Keadilandaily semalam.

Pada 2 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sisa radioaktif dari kilang Lynas akan dipindahkan ke satu lokasi lain yang belum dipastikan.

Kenyataan itu disambut oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang menyifatkan Najib sebenarnya menyedari bahawa sisa dari projek Lynas sememangnya membahayakan kesihatan rakyat Malaysia.

Mengulas isu yang sama, Ketua Penerangan Himpunan Hijau 2.0, Lee Chean Chung turut membayangkan kemungkinan menganjurkan Himpunan Hijau 3.0, sekiranya operasi Lynas masih diteruskan.

“Kejayaan perhimpunan sebelum ini menambahkan keyakinan kita untuk terus menyatakan bantahan kepada kerajaan berkenaan projek ini.

“Kami masih belum ada butiran rasmi berkenaan tarikh dan lokasi perhimpunan. Mungkin kami akan mengadakan kerjasama dengan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk Himpunan Hijau 3.0 nanti”, kata Lee.

Dalam pada itu, Pengerusi Bersih, Dato’ S. Ambiga ketika dihubungi berkata, beliau akan bertemu dengan penganjur Himpunan Hijau 2.0 untuk membincangkan perkara tersebut.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

1 comment:

5sal said...

baguih2 tu la yg aku dengaq tu.pasai pm kata dia nak buang jauh sisa jauh mana x tau.mujuq la jugak kt mesia nie da gak satu gurun kt Kedah.boleh la p buang kt situ dak pong boleh g buang kt Pekan@pun kt Istana.Kita pakat turun ramai2 himpunan hijau 3.0 lak.