By admin On 20:00 | Categorized As , , | With 0 comments
Polis mempersoalkan tindakan Hilmi Hazimin Malek, yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor Elizabeth Wong, melarikan diri ke luar negara sehingga ditahan pihak berkuasa Indonesia di Pulau Batam kerana memiliki dokumen perjalanan palsu.

"Kalau dia (Hilmi) tidak bersalah, mengapa dia patut takut dan lari ke luar negara, kalau dia berada di pihak yang benar, maka beliau perlu menjelaskan segala-galanya," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Aziz Zakaria kepada Bernama.

Beliau berkata keterangan Hilmi Hazimin akan membantu siasatan terperinci polis berhubung rakaman dan penyebaran gambar Wong.

Sebuah portal Indonesia sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai 'Azmin Helmi', yang kemudian disahkan sebagai Hilmi Hazimin, ditahan Imigresen Indonesia kerana memiliki dokumen palsu.

Hilmi dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dikatakan memiliki kad pengenalan serta kad keluarga Indonesia palsu.

"Kita telah merakam kenyataan ibu bapa dia (Hilmi) dan kita percaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya. BERNAMA

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: