By admin On 08:00 | Categorized As , , , | With 0 comments

Polis P.Pinang mengisytiharkan ‘perang’ terhadap pengusaha mesin judi dan komputer di negeri ini yang seolah-olah tidak gentar dengan pihak berkuasa apabila terus beroperasi walaupun diserbu berkali-kali.

Malah kesan buruk kegiatan itu dikesan apabila terdapat pelajar yang sanggup ponteng sekolah semata-mata mahu berjudi.

Selain itu, siasatan yang dijalankan polis mendapati sindiket perjudian berkomputer itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM1.5 juta sebulan kerana kebanyakan pengusaha kegiatan haram tersebut memiliki sekurang-kurangnya 10 premis sedemikian.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, sepanjang 2011, sebanyak 2,566 serbuan dilakukan dengan 813 daripadanya beroleh kejayaan manakala seramai 990 penjaga premis ditahan.

“Dalam tempoh berkenaan, seramai 430 kaki judi ditahan dan 9,496 buah mesin komputer dirampas. Wang tunai yang dirampas pula sebanyak RM31,424,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi tahun ini sehingga kelmarin, kata Ayub, sebanyak 349 serbuan dilakukan dengan seramai 129 penjaga premis serta 119 kaki judi ditahan.

“Sebanyak 1,416 buah mesin komputer dan wang tunai sebanyak RM9,998 turut dirampas. Nilai mesin judi yang dirampas untuk tahun ini sahaja mencecah RM2.5juta,” katanya.

Ayub memberitahu, ketagihan berjudi boleh menyebabkan berlaku jenayah-jenayah lain termasuk curi motosikal, ragut atau meminjam wang daripada ah long.

“Malah terdapat juga elemen gangster, pengambilan dadah serta penayangan gambar lucah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, meskipun polis berjaya menurunkan indeks jenayah tetapi pihaknya masih risau ia akan meningkat jika kegiatan judi tidak dibendung.

Sehubungan itu, katanya, operasi membanteras kegiatan judi akan digiatkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenainya dan menutup ruang bagi remaja yang baru menceburi kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Beliau menambah, setiap hari polis melakukan operasi melibatkan pegawai serta anggota daripada semua bahagian untuk membuat pemantauan serta menjalankan serbuan.

“Kita juga masih menjalankan tindakan memotong bekalan elektrik di premis yang menjalankan perjudian berkomputer ini,” katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: