By admin On 14:00 | Categorized As , , , | With 0 comments

Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak layak untuk mengakui kejayaan negeri ini mencapai pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan pada tahun lalu disebabkan pentadbiran pembangkang.

Ini kerana kejayaan tersebut sebenarnya mampu dicapai hasil usaha keras kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang berjaya meyakinkan pelabur.

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata, kerajaan BN telah menyediakan pelbagai kemudahan asas untuk menarik minat pelabur ke Pulau Pinang.

Antaranya, jelas beliau, lapangan terbang, pelabuhan, zon perdagangan bebas, jambatan dan rangkaian lebuh raya yang baik.

“Dia (Guan Eng) tidak sepatutnya sombong. Kejayaan Pulau Pinang hari ini bukan 100 peratus usaha dia.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang pun tidak buat penambahbaikan, tidak mengubah dasar tapi hanya meneruskan polisi serta usaha BN dulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam ucapan sempena majlis makan malam anjuran DAP di Petaling Jaya semalam mendakwa kejayaan Pulau Pinang dan Selangor sebagai destinasi pelaburan sektor pembuatan terunggul pada tahun lalu membuktikan pembangkang mampu mentadbir dengan bersih dan cekap.

Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM9.1 bilion manakala Selangor RM8.7 bilion.

Aziaan memberitahu, segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan BN sebenarnya untuk semua rakyat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik.

“Kalau nak tunggu dia (Guan Eng) buat, berpuluh tahun lagi pun belum tentu siap,” ujarnya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: