By admin On 20:30 | Categorized As , , | With 0 comments

Pas Selangor menolak tanggapan bekas Pesuruhjayanya, Datuk Hasan Ali kononnya kesediaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mempunyai kaitan dengan dakwaan wujudnya ‘parasit’ dalam parti itu.

Pesuruhjayanya, Dr. Abdul Rani Osman berkata, kenyataan Abdul Hadi itu merupakan pandangan peribadi beliau yang berkemungkinan mahu memberi tumpuan untuk bertanding satu kerusi sahaja pada pilihan raya umum akan datang.

‘‘Tidak ada desakan, tekanan atau pengaruh ‘parasit’ seperti yang didakwa oleh Hasan. Abdul Hadi mungkin mahu memberi tumpuan pada satu kerusi sahaja, bukan beliau bermaksud mahu berundur,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang bercadang tidak bertanding pada PRU13 akan datang.

Bagaimanapun, kenyataan Abdul Hadi itu mencetuskan pelbagai desas-desus yang mendakwa tindakan tersebut berpunca daripada kepimpinan Pas pada hari ini yang bermasalah selain banyak dasar parti dipengaruhi oleh golongan tertentu.

Malah, Hasan yang dipecat daripada parti itu pada 8 Januari lalu turut mendakwa, Pas tidak lagi berpegang pada matlamat perjuangan asalnya iaitu menubuhkan negara Islam berikutan penguasaan kumpulan ‘parasit’ yang telah mempengaruhi dasar parti itu.

Hasan dalam satu laporan media pada 16 Januari lalu mendedahkan kumpulan berkenaan yang berjaya menyusup masuk ke dalam parti kini semakin kuat dan telah memegang pelbagai jawatan penting dan strategik.

Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru ketika ditanya mengenai pendirian Pas Selangor berhubung hasrat Abdul Hadi itu menyatakan, pihaknya tidak ada masalah sekiranya Presiden Pas itu mempunyai hasrat sedemikian.

‘‘Itu terpulang kepada Abdul Hadi. Sebaik-baiknya biarlah ahli Pas di peringkat akar umbi yang menentukannya. Namun, bagi Pas Selangor, kita harap beliau kekal bertanding dan memimpin parti,'' katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: