By admin On 20:00 | Categorized As , , | With 0 comments

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan mengadakan sesi perdebatan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenai masa depan masyarakat Cina pada Sabtu depan.

Perdebatan itu dijadual diadakan di Berjaya Times Square pada pukul 5 petang sempena Forum masyarakat Cina di persimpangan politik dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, perdebatan itu akan menyentuh isu mengenai masa depan masyarakat Cina tanpa melibatkan sentimen politik manakala tajuk perdebatan adalah 'Dilema Masyarakat Cina Dalam Menghadapi PRU akan datang.'

"Saya ucapkan terima kasih kepada Guan Eng kerana bersetuju untuk berdebat. Perdebatan itu adalah antara saya dengan Guan Eng yang akan berlangsung selama sejam tanpa menyentuh isu politik.

"MCA juga telah menjemput semua parti politik Cina seperti Gerakan, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan termasuk DAP," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) di Wisma MCA.

Tambah Soi Lek, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa stesen televisyen untuk menyiarkan perdebatan tersebut.

Sementara itu, mengenai cadangan Pemuda Pas yang mendesak kerajaan melarang sambutan Valentine's Day atau dikenali sebagai Hari Kekasih, beliau menyifatkannya sebagai tindakan yang mencabul hak asasi manusia di negara ini.

"Pas tidak boleh memaksa kaum lain menerima secara bulat-bulat nilai moral ala Pas kerana rakyat mempunyai kebebasan untuk meraikan apa jua perayaan yang difikirkan sesuai.

"Pada hemat MCA, Hari Kekasih bukan hanya diraikan oleh pasangan kekasih tetapi juga untuk pasangan suami isteri. Ia adalah perayaan yang harmoni dalam memperkukuhkan jalinan sesama pasangan," jelasnya.

Soi Lek turut mencabar pucuk pimpinan tertinggi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong atau tidak tindakan Pas itu.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: