By admin On 11:22 | Categorized As , , | With 0 comments

Menghalang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan tidak membayar cukai daripada mengundi, merupakan cubaan untuk melucutkan hak mereka, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, cadangan SPR itu juga tidak mengambil kira perlembagaan yang menyatakan dengan jelas bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

“Ramai rakyat yang menetap di dalam negara juga tidak membayar cukai juga … Pesara juga ramai yang tidak membayar cukai pendapatan dan mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 juga tidak perlu membayar apa-apa cukai pendapatan.

“Adakah kita akan mengecualikan semua mereka sebagai pengundi juga?” petik kenyataan itu.

Menurutnya, Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan bahawa pendapatan yang diperolehi daripada sumber-sumber di luar Malaysia adalah dikecualikan daripada dikenakan cukai.

Justeru, BERSIH 2.0 berpendapat tindakan SPR yang tidak berperlembagaan adalah cubaan melucutkan hak mereka yang layak untuk mengundi.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong berkata cadangan yang diutarakan SPR merupakan satu langkah ke belakang.

“Dengan menafikan hak perlembagaan rakyat Malaysia untuk mengundi, SPR sekali lagi menunjukkan pandangan kabur terhadap proses demokrasi,” tegas beliau.

Menurutnya, meskipun cadangan itu hanya terhad kepada mereka yang menetap di luar negara, namun ia menunjukkan sikap sebenar SPR terhadap amalan mengundi yang dianggap merupakan keistimewaan dan bukan merupakan hak rakyat.

“Ini menandakan satu trend berbahaya dalam politik Malaysia. Di Sebalik pengukuhan demokrasi dengan melibatkan lebih ramai rakyat mengambil bahagian dalam proses tersebut dan memperluaskan dasar pengundi, SPR kembali pada hari di mana hak mengundi hanya dihadkan kepada beberapa golongan atasan,” ujarnya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: