By admin On 08:00 | Categorized As , , | With 0 comments

Disebabkan pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik sokongan terhadap negara tersebut seperti yang diucapkan beliau didalam Wall Street Journal (WSJ).

Dan jika benar laporan WSJ tersebut berunsur fitnah, Anwar digesa supaya mengambil tindakan menyaman laman web tersebut.

Nik Aziz yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan membuat kenyataan sedemikian selepas bermesyuarat bersama seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS. Ahli Majlis Syura juga bersetuju dengan gesaan dari pemimpin PAS tersebut.

“Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz kepada media :

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. 



Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.

Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: