By admin On 11:20 | Categorized As , , | With 0 comments

TERENGGANU - Pas mengalu-alukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri walaupun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dipenjarakan atas tuduhan meliwat oleh Mahkamah Tinggi, Isnin ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak mempunyai masalah untuk menerima Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan nanti.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, keputusan itu hanya akan dimuktamadkan dengan persetujuan semua rakan parti pembangkang sejurus memenangi Pilihan Raya Umum (PRU-13).

“Ya... (setuju Anwar sebagai Perdana Menteri), kalau pakatan pembangkang menang pilihan raya (PRU-13) nanti. Tapi kena tunggu pilihan raya dulu lah,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Sambutan 100 Tahun Itqan Al-Muluk Tiba‘Dil Assuluk di Kampung Gaung, Kuala Berang dekat sini hari ini.

Abdul Hadi mengulas mengenai ketegasan Ketua Pembangkang, Anwar untuk menjadi Perdana Menteri walaupun beliau dikenakan hukuman penjara bersabit kesalahan meliwat pada Isnin ini.

Anwar dalam wawancara dengan berita portal MalaysiaKini berkata, pembangkang akan melantik seorang ‘Perdana Menteri sementara’ jika mereka berjaya membentuk kerajaan semasa beliau menjalani hukuman penjara nanti.

Ditanya mengenai reaksi Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang membidas tindakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mengkritik dasar parti berkenaan secara terbuka selain menyifatkannya sebagai keterlaluan, Abdul Hadi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: