By admin On 11:00 | Categorized As , , | With 0 comments

KOTA KINABALU - DAP perlu mendedahkan bilangan ahli-ahlinya yang berbangsa Melayu dan juga pada masa sama menyenaraikan rancangannya untuk pembangunan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti pembangkang itu juga perlu membuktikan manifesto mereka yang didakwa untuk perjuangan dan membela hak semua kaum seperti mana yang telah dibuktikan oleh UMNO.

Katanya, UMNO yang disertai oleh 100 peratus golongan bumiputera membuktikan bahawa parti itu juga memperjuangkan hak semua kaum dan agama, malah tidak pernah bertindak memilih bulu dalam memberi bantuan kepada rakyat.

"DAP perlu menyatakan dengan jelas rancangan dan manifesto mereka untuk membela serta memperjuang nasib semua lapisan masyarakat, bukan sekadar bercakap atau melaungkannya bagi menarik perhatian orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Datuk Seri Sari Nuar; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Yee Moh Chai dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri yang juga Ketua Pemuda PBS, Datuk Jahid Jahim.

Mohd. Shafie berkata, jika benar DAP sebuah parti berasaskan berbilang kaum seperti yang didakwa, mereka perlu berani memperjelaskan kepada orang ramai mengenai agenda mereka untuk membela nasib masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh DAP sangat bercanggah dengan mesej yang cuba disampaikan kepada orang ramai.

Katanya, parti pembangkang itu hanya pandai memperdaya masyarakat dengan janji-janji kosong dan orang ramai sudah mengenali helah yang digunakan mereka untuk menarik perhatian dan menjayakan agenda politik parti itu sahaja.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: