By admin On 08:00 | Categorized As , , | With 0 comments

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Malaya, (UM) Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata UM tidak menghalang pembabitan pelajar dalam politik di luar kampus selagi pelajar terbabit tidak membawa masuk fahaman politik itu ke dalam kampus.

Mengulas mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dipinda, Dr Ghauth berkata, “Saya rasa pelajar-pelajar universiti mungkin mahukan kebebasan bersuara kerana itu UM tidak menghalang pelajarnya terbabit dengan politik.

“Tetapi sekiranya fahaman tersebut dibawa ke dalam kampus yang akhirnya mendatangkan masalah, maka tindakan keras akan diambil” katanya selepas melancarkan First International Conference on World-Class Education, di UM.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah menegaskan bahawa pembabitan pelajar dalam politik tidak boleh dibawa ke dalam kampus.

Menyentuh rancangan UM, Dr Ghauth berkata, universiti itu akan membentuk rangkaian kerjasama dengan universiti luar negara bagi memastikan pendidikan negara berkembang lebih pesat lagi. Katanya rangkaian kerjasama ini membabitkan Indonesia, India, Filipina, Australia dan Korea Selatan.

Dr Ghauth berkata, melalui rangkaian kerjasama ini pelbagai masalah dalam sistem pendidikan dapat diatasi dan mampu mengangkat UM ke tangga ke-100 universiti terbaik di dunia menjelang 2015.

“Rangkaian ini penting bagi mengembangkan lagi sistem pendidikan UM terutamanya dalam bidang ilmu seperti kajian tentang virus HIV melalui pertukaran pendapat sekaligus dapat melakukan transformasi dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata apabila UM tersenarai di tangga ke-100 terbaik di dunia ia adalah satu publisiti kepada Malaysia dan orang luar akan memandang UM sebagai satu platform terbaik untuk melanjutkan pelajaran masing-masing.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: