By admin On 08:00 | Categorized As , , , | With 0 comments

Kerajaan Pas Kedah dianggap bersifat angkuh apabila tidak mahu menerima pandangan pihak lain berhubung langkahnya tetap dengan keputusan untuk merobohkan Madrasah Salihiah di Kanchut di sini.

Veteran politik, Tan Sri Khalid Abdullah berkata, keputusan tersebut amat jelas tidak meletakkan Islam itu di tempat lebih tinggi dan besar berbanding perkara lain seperti soal kompleks membeli belah.

“Ini bukan soal politik, saya cakap sebagai seorang Islam maka dia (Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak) boleh buat apa yang dia mahu tetapi dia bertanggungjawab kepada Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin Azizan berkata, kerajaan negeri tetap dengan keputusan untuk merobohkan Madrasah Salihiah meskipun terdapat cadangan agar dilakukan pengubahsuaian terhadap pelan pembinaan kompleks membeli belah yang bakal dibina atas tapak tanah madrasah itu.

Azizan berkata, selaku graduan lulusan Universiti Al-Azhar, beliau tahu mengenai hukum hakam dan keputusan untuk membenarkan pengambilan tapak serta bangunan madrasah berstatus wakaf khas berkenaan dibuat hanya selepas mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri.

Khalid berkata, selaku Menteri Besar, Azizan boleh melakukan ‘sesuka hatinya’ kerana kekuasaan berada di tangannya namun jangan lupa bahawa beliau perlu menjawab di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.

“Allah itu Maha Besar. Dia (Azizan) mesti pertimbangkan perkara ini, antara sentimen dia dengan keputusan ini siapa yang lebih besar,” soalnya.

Tambah Khalid, soal merobohkan madrasah itu bukan soal kepentingan politik lagi kerana ia lebih kepada menjaga dan memelihara syiar Islam.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: