By admin On 14:00 | Categorized As , , | With 0 comments

KUALA LUMPUR - Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai status bintang penyerang negara, Safee Sali, biarpun media melaporkan Liga Super Indonesia (ISL) diharamkan badan bola sepak dunia, FIFA.

Pengurus Safee, Zakaria Ab. Rahim menegaskan, laporan media Indonesia bahawa ISL diharamkan FIFA dan Safee tidak boleh menyarung jersi Malaysia adalah tidak tepat.

Jelasnya, ia cuma satu salah faham yang perlu diperbetulkan. Malah, Zakaria memberitahu, Safee masih selesa beraksi bersama Pelita Jaya, antara kelab yang dikatakan terjejas ekoran pengharaman ISL.

"Ada beberapa akhbar mereka (Indonesia) melaporkan tentang perkara tersebut dan ia tidak tepat sama sekali.

"Saya juga telah dimaklumkan bahawa laporan itu bukan surat rasmi yang dihantar kepada badan induk bola sepak mereka tetapi hanya email jawapan yang dihantar kepada media untuk membalas soalan diajukan sebelum ini. Ia cuma salah faham dan tidak betul sama sekali.

"Pihak FIFA sekadar menasihatkan mereka agar menangani perkara tersebut dengan baik itu sahaja," katanya.

Terdahulu portal berita akhbar Republika, melaporkan, surat pengharaman ISL oleh FIFA ditujukan kepada Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin. Surat tersebut antara lain menyatakan ISL adalah liga yang tidak diiktiraf badan dunia itu.

Kandungan surat tersebut juga menetapkan status haram kepada semua pemain, pegawai dan pengadil dalam ISL , sekali gus memberi makna bahawa semua yang terlibat akan dikenakan pembekuan status perpindahan serta pemain tidak boleh bermain dalam liga atau kejohanan di negara yang merupakan anggota FIFA.

Sementara itu, Zakaria berkata, bagi menjelaskan perkara tersebut secara terperinci satu sidang akhbar khas akan diadakan di ibu negara pada Isnin depan.

"Saya dan Safee baru pulang dari Indonesia dan setakat ini ramai orang yang telah menghubungi saya untuk bertanyakan berhubung perkara ini.

"Perkara ini nampaknya sudah menjadi begitu rumit dan memerlukan penerangan secara terperinci. Justeru, saya akan mengadakan satu sidang akhbar khas bersama media Malaysia bagi menjelaskan dengan terperinci," jelas Zakaria lagi.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: