By admin On 11:50 | Categorized As , , | With 0 comments

SHAH ALAM – Pas Selangor mengakui Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali tidak disenaraikan sebagai calon dari negeri itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad berkata, keputusan tidak mencalonkan Hasan dibuat kerana bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu tidak mendapat pencalonan yang mencukupi di peringkat cawangan parti itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, yang diwakili oleh Hasan.

‘‘Beliau (Hasan) tidak mendapat pencalonan yang cukup untuk dipilih sebagai calon. Di kawasan beliau sendiri (Gombak Setia), beliau tidak dapat pencalonan yang cukup,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam bagaimanapun menafikan senarai calon yang dikemukakan kepada pimpinan Pas Pusat sebelum ini adalah keputusan muktamad yang diputuskan oleh Pas negeri.

Sebaliknya, beliau menyatakan senarai calon itu hanya cadangan awal yang dikemukakan oleh Pas Selangor untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan Pas Pusat.

‘‘Jika Pas Pusat mahu Hasan dipilih sebagai calon untuk bertanding, ia adalah keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti dan kita akan terima serta sokong.

‘‘Tidak semestinya di kawasan Gombak Setia, kalau pimpinan Pas Pusat mahu beliau dicalonkan di kawasan lain pun, kita tidak ada masalah,” katanya.

Pada 10 Disember lalu, Mingguan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, Hasan yang juga ADUN Gombak Setia telah ‘disingkirkan’ oleh Pas Selangor dan pengguguran tersebut telah mendapat restu daripada Pas Pusat.

Selain itu, Pas Pusat juga dikatakan akan menggugurkan beberapa pemimpin lain termasuk bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa yang selama ini tidak disenangi oleh kumpulan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita mengenai pengguguran Hasan itu telah diperkatakan sejak kebelakangan ini, malah Jumaat lalu, sebuah portal berita propembangkang melaporkan kenyataan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib bahawa Hasan berkemungkinan besar akan digugurkan sebagai calon parti itu pada PRU13.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: