By admin On 23:00 | Categorized As , , | With 0 comments

Gabungan NGO Malaysia (GNM) menyifatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali seorang 'penakut' apabila mengaitkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dengan agenda UMNO.

Setiausahanya, Mohd. Jurit Ramli berkata, segala dakwaan Mustafa adalah rekaan semata-mata bertujuan mengelirukan penyokong Pas mengenai perjuangan Hasan.

Beliau berkata, penyokong Pas perlu sedar apa yang diperjuangkan oleh Hassan adalah Islam, kedudukan orang Melayu serta raja-raja Melayu dan bukan seperti yang didakwa Mustafa.

"Kita lihat Mustafa seolah-olah sengaja menimbulkan isu ini untuk menutup kelemahannya yang gagal memperjuangkan Islam, kedudukan orang Melayu serta raja-raja Melayu seperti yang dilakukan oleh Hasan.

"Mustafa kini umpama 'cacing kepanasan' apabila segala dakwaan yang dilemparkan kepada Hasan dijawab dengan mudah tanpa perlu masa panjang. Selepas sehari dakwaan dikeluarkan, Hasan sudah jawab, ini membuktikan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu seorang yang jujur dan ikhlas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Hasan yang kini menjadi sasaran kritikan beberapa pemimpin tertinggi Pas ekoran tindakannya yang menyentuh soal dasar perjuangan parti berkenaan yang didakwa sudah terpesong daripada landasan sebenar dan terbaru Mustafa mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO.

Menurut Mohd. Jurit, pemimpin Pas yang lain tidak sepatutnya takut untuk menyokong Hasan kerana apa yang diperjuangkan beliau adalah sesuatu yang amat diperlukan ketika ini.

"Jangan kerana takut kehilangan jawatan, Pemimpin Pas lain sanggup melihat pemimpin yang berwibawa seperti Hasan difitnah dengan pelbagai tuduhan.

"Saya menyokong penuh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang tetap dengan pendiriannya mempertahankan Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa walaupun kedua-duanya dikecam hebat oleh kepimpinan parti berkenaan," katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: