By admin On 20:00 | Categorized As , , | With 1 comments

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menyifatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali terperangkap di dalam prasangka buruk dan api fitnah apabila mengaitkan beliau terlibat dalam agenda politik UMNO.

Hasan berkata, sebagai seorang yang berjawatan tinggi dalam sebuah parti berteraskan Islam, Mustafa tidak sepatutnya dan tidak layak melakukan tuduhan serkap jarang terhadap diri beliau.

Sehubungan itu, Hasan menafikan wujud pertemuan antara beliau dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dengan mana-mana wakil UMNO di sebuah hotel pada Ramadan lalu seperti didakwa oleh Mustafa.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya pertemuan saya dengan mereka (UMNO) sama ada pimpinan di peringkat bawahan, pertengahan atau atasan pada masa dan tempat yang dinyatakan.

"Sekali lagi Mustafa terperangkap dengan prasangka buruk dan api fitnah sesama Muslim dan ahli jemaah," katanya pada sidang media di rumahnya di sini hari ini.

Sebaliknya Hasan mendakwa pertemuan bersama pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO pernah dilakukan oleh Mustafa beberapa kali sebelum ini.

"Bahkan ada permohonan daripada Setiausaha Agung itu sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin tertinggi UMNO yang sehingga kini setakat yang saya maklum belum dapat diadakan," jelas beliau.

Bagi membuktikan siapa sebenarnya yang bersalah dalam tuduhan itu, Hasan mahu satu siasatan secara terperinci dilakukan oleh parti itu bagi mencari kebenaran sebenar.

Sementara itu, Hasan bertindak menarik balik kenyataan yang dibuat beliau pada 20 Disember lalu berhubung Negara Berkebajikan dengan menyifatkan ulasan beliau sebagai satu keterlanjuran.

"Saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran sewaktu saya membuat ulasan terhadap perkara itu," jelas beliau.

Hasan berkata, sebagai ahli dan pimpinan dalam parti beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan seperti diputuskan oleh pucuk pimpinan.

Bagaimanapun Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetul perjuangan Pas yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu 'akomodatif' demi kepentingan parti-parti komponen.

"Demi perjuangan kita dan sayang kita pada Islam, saya dan teman-teman berpendapat eloklah negara Islam berbanding Negara Berkebajikan.

"Cuma kita perlu melihat dan pastikan betul-betul ia mempunyai kandungan, hujahan dan persembahan yang sama dengan konsep negara Islam," katanya.

Mengenai tawaran Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kepada beliau untuk menyertai pertubuhan itu, Hasan berkata, beliau menolaknya kerana ingin memberikan perhatian untuk perjuangan Pas.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Ibrahim Ali atas tawaran itu tetapi kita mesti fokus. Saya tidak boleh letakkan kaki satu di sebelah sana dan satu lagi di sebelah sini," katanya.

Mustafa dalam dakwaan yang mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO baru-baru ini mahu Hasan menjelaskan apa yang dibincangkan bersama tiga orang lain pada pertemuan di sebuah hotel sama ada ia berkait dengan politik atau ekonomi.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

1 comment:

Anonymous said...

Hasan Ali x da blog, fb, twitter, website,.. senang cite apa pun x dak.. nak cari publisiti murahan dengan media2 UMNO.