By admin On 08:00 | Categorized As , , | With 0 comments

KOTA BHARU – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali percaya ada pihak tertentu dalam Pas yang merancang untuk menyingkirkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali daripada kepimpinan parti tersebut.

Beliau percaya, gerakan untuk meletakkan Hasan dalam ‘peti sejuk beku’ itu dilakukan secara terancang oleh golongan Islam liberal dalam Pas sendiri yang juga pro ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwanya, golongan tersebut tidak senang dengan tindak tanduk Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu yang dilihat menentang perjuangan mereka.

“Mereka ini orang yang ghairah nak berkuasa dan berpendapat untuk berkuasa kena bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Jadi kumpulan dalam PKR, DAP dan Pas memang nak tengok Hasan disingkirkan, cuma peranan itu dimainkan oleh Islam liberal dalam Pas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Ke-8 di sini hari ini.

Ibrahim yang juga penasihat MTRK berkata, tindakan golongan tersebut untuk menyingkirkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu turut berpunca daripada perjuangannya yang menentang dasar Negara Berkebajikan Pas.

“Sememangnya ia berpunca daripada kenyataan Hasan yang mempertahankan Islam dan institusi raja sebab kerajaan negeri bermasalah dengan institusi raja di Selangor. Sebab itu mereka tidak senang hati dengan Hasan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berpendapat, gerakan untuk menyingkirkan Hasan itu bermula apabila Exco berkenaan sejak dari awal bersuara lantang terutama berhubung isu murtad yang turut mendapat perhatian Sultan Selangor dengan mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyerbu sebuah gereja.

“Tindakan Hasan itu dilihat oleh kumpulan berkenaan telah mengganggu kepentingan politik pakatan pembangkang di Selangor,” katanya.

Menurut Ibrahim, berdasarkan pengalaman beliau sendiri, bagi menguatkan lagi tindakan mereka, kumpulan Pas liberal itu turut mengaitkan Hasan dengan UMNO serta pihak-pihak tertentu lain termasuk dakwaan kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

“Semuanya karut, saya pernah mengalami perkara sama, pada 2008 saya bertanding dengan kerjasama Pas. Parti itu membenarkan saya menggunakan simbol dia, sebelum bertanding saya sudah menyatakan pendirian, saya akan beri sokongan selagi mereka yang bekerjasama dengan saya mempertahankan kepentingan Islam, bangsa dan negara,” katanya.

Ibrahim memberitahu, kerana menghormati ketokohan Hasan, beliau telah menawarkan Exco Selangor itu supaya menyertai Perkasa dan bersedia menyerahkan jawatan Presiden sekiranya dia bersetuju.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: