By admin On 13:30 | Categorized As , , | With 0 comments

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa dakwaan yang menyebut Negara Berkebajikan Pas sudah tersasar daripada perjuangan asal parti itu adalah tidak berasas.

Kata beliau, idea itu tidak menggelincirkan Pas daripada landasannya, bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan.

"Dalam hal ini, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir Pas menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni Pas ini," katanya dalam status terkini di laman sosial Facebook beliau.

Sebelum ini, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali pernah membuat kenyataan menolak konsep Negara Berkebajikan Pas dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Nik Aziz menambah, Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada Pas sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.

Justeru katanya, beliau menyokong keputusan yang diambil Lajnah Politik Pas Pusat yang bermesyuarat semalam supaya Hasan; bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungip dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit.

"Saya menyokong sepenuhnya keputusan ini dan menganggap ia sebagai satu langkah terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini," katanya.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz menyeru semua pihak dalam Pas supaya tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik Pas untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

Katanya, perselisihan pandangan perlu diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

"Saya yakin apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

"Apa yang pasti selepas ribut kecil ini turunlah hujan yang menyejukkan, Insya-Allah," katanya.

Admin PenangPos - Pihak editorial tidak bertanggung jawab diatas sebarang komen yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pembaca lain. Komen-komen dibawah adalah dibawah tanggungjawab sendiri. Terima Kasih.

No comments: